LTdL 2012 lebih mencabar
KOSMO, 6/8/2011
KEJOHANAN lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 bakal menyajikan satu pertarungan epik yang lebih menarik dan sengit.
Demikian kesimpulan yang dapat dibuat selepas menyaksikan penyertaan 13 pasukan yang akan bertanding pada kejohanan edisi ke-17 itu pada 24 Februari hingga 4 Mac tahun depan.
Selain kemunculan semula dua pasukan bertaraf pro jelajah – Garmin-Cervelo dan Astana – kehadi- ran pelumba-pelumba handalan lain dari 11 pasukan bertaraf benua dalam kejohanan ini, sudah pasti menjanjikan satu persaingan yang sengit dan memberi keterujaan kepada peminat sukan basikal dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed yakin penampilan pelumba-pelumba bertaraf dunia pada kejohanan berstatus 2.0 Hors ini ba- kal menjadi mekanisme terbaik dalam mempromosikan Malaysia ke seluruh dunia menerusi platform industri sukan dan pelancongan.
“Kehadiran dua pasukan bertaraf pro iaitu Garmin-Cervelo dan Astana sudah pasti menarik perhatian peminat basikal dunia, malah penyertaan pelumba-pelumba pasukan lain juga akan menghangatkan lagi persaingan LTdL 2012 ini,” kata Mohid pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Perlumbaan (MCC) di Menara KBS, Putrajaya semalam.
“Malah satu daripada 10 peringkat iaitu ujian masa individu juga akan disiarkan secara langsung selama dua jam tanpa henti.
“Jadi, inilah masa yang terbaik untuk mempromosikan industri sukan dan pelancongan di Malaysia kerana seluruh dunia akan dapat menyaksikan LTdL 2012 ini pada masa itu,” tambah beliau lagi.
Buat masa ini, kata Mohid, 13 dari 22 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka, manakala baki sembilan lagi pasukan akan diketa- hui tidak lama lagi.
“Malaysia sendiri akan mempunyai tiga pasukan iaitu pasukan Terengganu Pro Asia Cycling (TSG), skuad kebangsaan dan juga LeTua.
“Jadi, saya yakin pelumba kita juga mampu memberi aksi terbaik dan bekerjasama demi mencapai kejayaan seperti yang dicatat Anuar Manan dahulu,” ujar Mohid lagi.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab menjelaskan, pemilihan pelumba skuad negara akan dibuat berdasar- kan prestasi dan pencapaian pada temasya Sukan SEA 2011 di Indone- sia, November depan.
“Kita akan pilih pelumba selepas melihat prestasi mereka pada Sukan SEA 2011 nanti.
“Tetapi laluan dalam acara lebuh raya di Bandung nanti, kebanyakan- nya berbukit, jadi tidak sesuai bagi pelumba pecut seperti Anuar (Manan) dan Hariff Salleh.
“Mungkin kita akan menghantar pakar pendakian seperti Adiq (Hussainie), Amir (Mustafa Rusli), Shahrul (Mat Amin) dan Saufi (Mat Se- nan),” jelas Abu Samah.
LTdL 2012 melibatkan 10 peringkat perlumbaan bermula dengan ujian masa individu (ITT) di Putrajaya (20.3km), Putrajaya-Melaka (151km), Melaka-Parit Sulong (187.6km), Batu Pahat-Muar (169.4km) dan Ayer Keroh-Pandan Indah (187.2km).
Proton Shah Alam-Genting Highlands (108km), Bentong- Kuantan (215.8km), Pekan-Chukai (100.8km), Kemasik-Kuala Terengganu (169.4km) dan Kuala Terengganu-Kuala Terengganu Loop (110.7km).