VINH LONG: Junaidah Juss menebus kehampaan rentetan terlibat dalam kemalangan di garisan penamat kelmarin apabila muncul pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan peringkat keempat Kejohanan An Giang Television Cup 2012 (ANTC 2102) dari Ben Tre ke Vinh Long sejauh 76 kilometer semalam.
Pelumba kelahiran Sarawak itu menduduki tempat ke-31 apabila merakam masa 2 jam 22 minit 58 saat sekali gus memastikan Malaysia tidak menempa aib tatkala rakan sepasukannya lain terkial-kial untuk mencari rentak kayuhan cemerlang.
Nurul Norlizawati Mohd Shariff turut mencatat masa serupa untuk menduduki tempat ke-37 manakala Suryani Mohamad pula ke-48, Muslihah Salim ke-51 dan Nurul Sakinah Abd Kadir pula terus bergelut untuk memperagakan kayuhan berkualiti menduduki tempat ke-59.
Perlumbaan semalam dimenangi oleh Nguyen Thi That dari kelab Gao Vinh Binh An Giang yang merakam masa 2:22:38s diekori pelumba Korea Selatan, Rhee Chae Kyung dan Tran Thi Phurong Trang yang turut mencatat masa serupa.
Keputusan berkenaan menyaksikan pasukan lebuh raya wanita terperosok ke tempat ke-8 berpasukan keseluruhan tatkala ANTC 2012 tinggal cuma dua perlumbaan peringkat lagi.
Senario tersebut menyebabkan jurulatih, Mohd Shari Mohamad Noor berang dengan tindakan beberapa pelumba Malaysia yang dianggap tidak akur kepada arahan dan taktikal perlumbaan digarapnya semalam.
“Nampaknya masih ada beberapa pelumba khususnya Nurul Sakinah yang jelas tak patuh kepada arahan saya. Saya akan adakan perbincangan dari hati ke hati untuk dengar sendiri apa masalah yang dihadapi Nurul Sakinah.
“Saya mahu bersikap adil kepada semua pelumba. Saya juga sentiasa bersikap terus terang. Daripada apa yang berlaku hari ini (semalam) jelas sekali kita langsung tak mampu untuk menunjukkan corak kayuhan yang berkualiti,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Sakinah menjelaskan betapa dia sebenarnya bergelut untuk menahan rasa sakit.
“Kaki saya bermasalah. Rasanya saya perlu mendapatkan rawatan rapi untuk mengetahui apa sebenarnya yang menyebabkan saya kurang bermaya ketika beraksi,” katanya.
Menyentuh tentang perlumbaan peringkat kelima dari Vinh Long – Can Tho – Vithanh sejauh 95 km, Mohd Shari mengerah anak buahnya agar melakukan apa yang terbaik untuk menebus aib yang dialami sejak hari pertama perlumbaan.
“Kita belum lagi tunjukkan persembahan sebagai sebuah pasukan kebangsaan. Kita masih ada baki dua perlumbaan. Jadi inilah masanya untuk mereka bukti dan tunjukkan bahawa Malaysia masih mempunyai pelumba yang bagus,” katanya.
KEPUTUSAN PERINGKAT KEEMPAT
1 Nguyen Thi That (Gao Vinh Binh An Giang) 2:22:38s; 2 Rhee Chae Kyung (Korea Selatan) +00.00; 3 Tran Thi Phurong Trang (Gao Vinh Binh An Giang) +00.00s; 31: Junaidah Juss (MAS) +20s;37 Nurul Norlizawati Mohd Shariff (MAS) +20s; 48 Suryani Mohamad (MAS) +39s; 51 Muslihah Salim (MAS) +39s; 59 Nurul Sakinah Abd Kadir +1:18s.
END