TEKA-TEKI mengenai nama pelumba kedua yang akan menggalas cabaran Malaysia dalam acara lebuh raya pada Sukan Olimpik 2012 London bulan depan akhirnya terjawab petang semalam.
Jawatankuasa Pemilihan Pelumba Olimpik dalam satu mesyuarat di Putrajaya telah memutuskan untuk menghantar pelumba Drapac Professional Cycling, Amir Mustafa Rusli sebagai pelumba kedua bagi membantu Muhamad Adiq Husainie Othman yang diberi peranan selaku pelumba utama.
Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamad menjelaskan, pemilihan Amir, 25, dibuat berdasarkan kebolehan pakar pendakian dari Dungun, Terengganu itu berkayuh dalam laluan panjang sejauh 250 kilometer iaitu jarak yang sama dipertandingkan di London nanti.
“Pemilihan Amir ini dibuat berdasarkan kebolehannya berkayuh dalam laluan yang panjang iaitu 250km,” kata Mohid pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.
“Malah, dia juga merupakan seorang pakar pendakian bagi pasukannya yang berpangkalan di Australia dan dia juga telah banyak menyertai perlumbaan di Eropah.
“Oleh itu, selepas menerima pandangan daripada semua panel pemilihan termasuk laporan daripada ketua jurulatih John Beasley serta bekas pelumba negara, M. Kumaresan, jawatankuasa ini akhirnya sebulat suara memilih Amir sebagai pelumba yang akan membantu dan memberi sokongan kepada Adiq pada temasya Olimpik, Julai depan,” katanya.
Ini merupakan satu kejutan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang sebelum ini mendedahkan bahawa slot bagi pelumba kedua di London nanti lebih terarah kepada pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh berdasarkan prestasi cemerlangnya sepanjang perlumbaan tahun ini.
Namun, nama pakar pecut negara tidak disenaraikan, sebaliknya abangnya, Mohd. Zamri pula terpilih sebagai pelumba simpanan.
Sementara itu, ketua jurulatih negara, Beasley menjelaskan bahawa Amir merupakan pelumba yang sesuai untuk membantu Adiq pada laluan berbukit di kawasan Box Hill yang melibatkan sembilan pusingan.
“Dia telah mempamer prestasi yang baik bersama Drapac dalam beberapa perlumbaan di Eropah.